LENGGONG: "Abang kata dia nak keluar pergi kerja, tetapi sampai lewat petang tak balik-balik," kata Muhamad Syamsul Amri Mohamad Azhari, adik kepada graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang ditemui lemas di Sungai Perak dekat Kampung Gelok pada Rabu.

Muhamad Saiful Azhar Mohamad Azhari, 27, ditemukan tidak bernyawa oleh orang awam dalam keadaan lengkap berpakaian tersangkut pada batang kayu di tepi sungai sekitar jam 8.15 pagi.

Anak sulung daripada tiga beradik yang baru menamatkan pengajian di UPSI itu telah dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Gelok.

Muhamad Syamsul Amri, 25, berkata, abangnya itu keluar menggunakan motosikal adik bongsu mereka sekitar jam 11.40 pagi dengan alasan untuk ke tempat kerja.

Bagaimanapun katanya, sehingga lewat petang, kelibat abangnya masih tidak kelihatan di rumah.

"Adik saya mula rasa pelik dan segera menghubungi rakan abang, tetapi mereka maklumkan yang abang kami tak datang bekerja pun.

"Bimbang sesuatu buruk berlaku, adik saya dibantu penduduk kampung dan saudara-mara terus menggerakkan operasi mencari di sekitar kawasan kampung sebelum menemui motosikal digunakan abang di tepi jambatan," katanya ketika dihubungi pemberita.

Mayat mangsa dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikalnya ditemukan.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong telah membantu menaikkan mangsa ke tebing sungai dan pemeriksaan oleh petugas perubatan mendapati mangsa telah pun meninggal dunia.

Muhamad Syamsul Amri berkata, sejak kematian ibu bapa pada 2002 dan 2017 lalu, mereka tiga beradik membesar bersama nenek di kampung berkenaan.

Katanya, hubungan mereka tiga beradik sangat rapat seperti kawan dan sering berkongsi cerita serta masalah yang dialami masing-masing.

"Semasa hari kejadian, saya tiada di rumah kerana bekerja di Lumut, tetapi adik saya maklumkan keadaan abang saya itu nampak biasa sahaja, tiada langsung tanda-tanda murung atau tertekan," katanya.

Difahamkan, Allahyarham dijadualkan menghadiri konvokesyennya pada bulan hadapan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Gelok sebaik proses bedah siasat selesai di Hospital Gerik. - Sinar Harian